SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, October 23, 2010

WAJIB LULUS SEJARAH SPM 2013 (HISTORY TO BECOME A COMPULSARY SUBJECT)

Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah pun mengumumkan dasar terbaharu pendidikan negara, iaitu kelulusan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat penganugerahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013. Tempoh tiga tahun diperlukan untuk menyediakan guru dan murid dengan sistem baharu itu kelak. Walaupun Sejarah telah lama diangkat sebagai mata pelajaran teras, tahap kepedulian generasi muda terhadap kepentingan sejarah negara belum boleh dibanggakan.

Kompleksiti masyarakat yang berbilang-bilang latar belakang, ancaman globalisasi dan tanda-tanda lunturnya semangat patriotik mungkin antara sebab utama yang mendorong pengumuman dasar terbaharu persijilan terbuka peringkat SPM itu. Generasi muda perlu mendapat pendedahan yang mencukupi tentang sejarah negara supaya memahami proses pembentukan masyarakat Malaysia yang bermula jauh semasa era kegemilangan empayar Melaka, perjuangan mengusir penjajah dan kontrak sosial ketika rundingan kemerdekaan 53 tahun yang silam. Penerimaan dan tolak ansur masyarakat pribumi ketika itu perlu dihargai oleh generasi sekarang.

Syarat wajib lulus Sejarah SPM menunjukkan bahawa kerajaan mahu murid menengah atas lebih serius dan tekun mempelajari sejarah. Mungkin beberapa perubahan, serta semakan bakal dilakukan terhadap sukatan pelajaran supaya aktiviti pembelajaran sejarah lebih hidup dan menangkap imaginasi murid. Kemahiran yang dipelajari lebih menjurus kepada aplikasi terhadap amalan semasa dan masa hadapan, berbanding dengan anggapan bahawa pembelajaran sejarah ialah proses mengingat tokoh, tempat dan tahun, sama macam mata pelajaran tawarikh era 1970-an dahulu.

Tidaklah mustahil bahawa suatu hari nanti calon peperiksaan mata pelajaran Sejarah dibenarkan membawa buku untuk rujukan di bilik atau dewan peperiksaan. Item soalan yang disediakan bukanlah bertujuan untuk meluahkan kembali fakta dalam buku teks. Sebaliknya, calon hanya menggunakan fakta buku teks sebagai tema atau hujah sokongan dalam jawapan mereka.

Kebimbangan bahawa mata pelajaran sejarah akan menjadi bertambah berat tentulah telah diambil maklum oleh pihak Pusat Perkembangan Kurikulum yang akan menyelaraskan perkara itu dengan bahagian-bahagian lain dalam Kementerian Pelajaran, khususnya Bahagian Buku Teks dan Lembaga Peperiksaan. Semua domain kognitif, afektif dan psikomotor tetap diambil kira sambil aspek-aspek aksesibiliti, ekuiti dan somatik tidak ditinggalkan. Murid yang di tempatkan di kolej-kolej teknikal yang bakal menggantikan sekolah teknik dan vokasional barangkali akan diberi sukatan pelajaran sejarah yang bersesuaian dengan penekanan terhadap falsafah latihan tenaga industri dalam kerangka kurikulum kebangsaan.

Pengalaman penulis blog sebagai guru sejarah (tingkatan 2 hingga 6 Atas), serta sebagai ketua panitia sejarah mendapati bahawa perancangan aktiviti pembelajaran sejarah dengan mengambil kira saranan murid ialah faktor kritikal yang menjadi daya tarikan mata pelajaran yang dianggap kisah silam itu. Murid akan sentiasa menunggu-nunggu waktu pembelajaran sejarah yang diperuntukkan tiga waktu seminggu. Malah, aktiviti pembelajaran sejarah turut menjadi gosip dan tema perbualan murid semasa di kantin... 

No comments: