SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 20, 2010

ANALISIS SAJAK "MAHSURI" (THE LEGEND OF LANGKAWI ISLAND)

Puisi nukilan Zurinah Hassan yang ditulis pada tahun 2007 ini dimuatkan semula dalam antologi Harga Remaja pada halaman 21 hingga 22. Bahagian pertama sajak mengandungi 16 baris ungkapan, manakala bahagian kedua terdiri daripada 11 baris sahaja. Bahagian pertama bertumpu kepada kisah Mahsuri berdasarkan penceritaan secara lisan zaman-berzaman, sedangkan bahagian kedua tentang peranan ahli sastera (sasterawan) menghidupkan cerita Mahsuri yang tidak dapat dipastikan secara muktamad.

MAHSURI

(1)

Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci
Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.

Gambaran tentang sumpah Mahsuri terhadap pulau Langkawi selama tujuh keturunan sebagai padang jarak padang tekukur telah diungkapkan semula dalam bahagian pertama sajak. Segala unsur alam seperti pantai, ombak, laut, telaga dan tanjung dikaitkan dengan kisah cinta Mahsuri yang tidak kesampaian, serta berakhir dengan tragis. Ombak pagi ialah lambang kesetiaan Mahsuri, telaga tujuh ialah lambang air mata Mahsuri, dan  tujuh tanjung pula melambangkan dendam tujuh keturunan yang disimbah dengan darah Mahsuri yang berwarna putih.

Walaupun dendam dan sumpah bukanlah perkara yang baik, namun penyajak menyimpulkan bahawa sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi sepertimana kemasyhurannya di segenap penjuru alam ketika ini. Barang diingat bahawa Langkawi telah disenaraikan sebagai antara 10 buah pulau tercantik di dunia, dan sebagai salah satu taman geologi / kaji bumi (geopark) yang telah diwartakan di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa Bersatu. Kebenaran cerita sumpahan Mahsuri mungkin sekali hanya bertaraf legenda, tetapi cerita berkenaan telah "dijual" sebagai daya tarikan kepada pelancong seluruh dunia.

(2)

Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuatnya lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri
Langkawi tidak sebegini i.


Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.


Pendapat yang mengatakan Mahsuri tidak pernah wujud (dalam dunia sebenar) mendakwa bahawa Mahsuri bermula dengan khayalan seorang seniman. Dalam konteks sastera lama yang berteraskan sumber lisan, dongeng atau mitos (myth) dan legenda, perkara seperti itu tidaklah pelik. Teknologi media cetak dan elektronik belum dimajukan sebagai saluran pelarian tekanan kerja, atau hiburan santai.

Pendapat yang mengatakan Mahsuri pernah hidup pula mendakwa cerita tentang Mahsuri telah dilebih-lebihkan oleh bahasa seorang pencerita. Dalam kata lain, gambaran tentang kehidupan Mahsuri dibuat secara berlebihan oleh seniman atau ahli sastera lama. Namun, gambaran berlebihan demikianlah yang menjadikan Langkawi begitu masyhur dan dikenali.

Dua baris akhir sajak merupakan kesimpulan kepada kedua-dua bahagian. Kisah legenda Mahsuri menjadikan Langkawi begitu besar. Keadaan itu menunjukkan bahawa medium sastera juga mampu menjadikan negara juga besar.

Soalan Aras Petikan:


1   Nyatakan tiga perkara tentang Mahsuri yang menghidupkan Langkawi?   (2 markah)

     Mahsuri menghidupkan Langkawi menerusi rambut, air mata dan darah putihnya.


2   Apakah hujah orang yang berpendapat bahawa Mahsuri tidak pernah wujud?   (2 markah)

     Orang yang berpendapat Mahsuri tidak pernah wujud berhujah bahawa Mahsuri hanyalah bermula dengan khayalan seorang 
     seniman.


3   Apakah kesan bahasa seorang pencerita terhadap kisah Mahsuri?  (2 markah)

     Bahasa seorang pencerita telah membuatkan gambaran hidup Mahsuri melebihi kehidupannya, dan kisah Mahsuri membuatkan 
     Langkawi begitu bererti.


Soalan Aras KBKK


4   Selain kisah penceritaan sastera, bagaimanakah sesuatu tempat boleh menjadi tarikan pelancong mengikut pendapat anda?   (3 markah)

Pada pendapat saya, selain kisah penceritaan sastera, sesuatu tempat boleh menjadi tarikan pelancong jika memiliki pemandangan yang indah, kekayaan flora dan fauna, serta banyak kemudahan penginapan dan keperluan yang lain.

5   Jelaskan dua cara sastera boleh menyumbang terhadap pembangunan negara?  (3 markah)

Pada pendapat saya, sastera boleh menyumbang terhadap pembangunan negara dengan menerapkan jati diri dalam kalangan rakyat supaya cinta akan negara, serta memupuk kehalusan budi supaya kehidupan bermasyarakat menjadi rukun damai.


Soalan Aras Komsas


6   Huraikan dua persoalan daripada sajak di atas.   (4 markah)

Persoalan pertama sajak ialah pengaruh cerita silam terhadap kemajuan pelancongan. Pulau Langkawi menjadi masyhur disebabkan kisah Mahsuri. Persoalan kedua ialah peranan sastera terhadap pembangunan negara. Karya sastera telah membesarkan negara, iaitu mempromosi nama baik negara.

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih cikgu