SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, December 4, 2011

CABARAN MEMPERKASA SEKOLAH HARIAN (EQUITY IN EDUCATION)

Walaupun banyak pihak dan banyak proses yang terbabit dengan pendidikan, tapak asasnya masih di sekolah. Usia kanak-kanak dan remaja dihabiskan di sekolah. Pelbagai pengalaman pembelajaran, sama ada menerusi kurikulum rasmi atau kurikulum tersembunyi sangat mempengaruhi perkembangan jasmani, emosi, rohani dan inteleks, atau dalam bahasa pendidikan disebut sebagai domain kognitif, afektif dan psikomotor.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis sekolah yang menawarkan pendidikan seawal prasekolah, rendah dan menengah. Penyedia utama pendidikan di sekolah ialah pihak kerajaan menerusi pembiayaan awam atau pinjaman mudah institusi kewangan tempatan dan antarabangsa. Di samping itu, terdapat sekolah swasta yang bermotif untung, kebajikan dan sukarela, serta sekolah kelolaan badan berkanun seperti MRSM.

Sekolah-sekolah mission yang ditubuhkan pada era penjajahan dahulu pula berstatus bantuan modal. Maksudnya, pihak gereja ialah pemilik tanah dan bangunan sekolah, tetapi aspek perjawatan, emolumen guru dan kakitangan, serta peruntukan waran perbelanjaan berdasarkan bilangan murid datang daripada pihak kerajaan. Sekolah sedemikian masih tergolong sebagai sekolah harian.

Sementara itu, sekolah-sekolah berasrama penuh berperanan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga yang kurang beruntung untuk menikmati persekitaran pembelajaran yang selesa dan bebas daripada masalah kekangan kewangan keluarga. Murid-murid cemerlang yang lain turut diberi tempat di sekolah berasrama penuh berdasarkan kriteria tertentu. Begitu juga sekolah menengah teknik yang menjadi pilihan untuk murid yang cenderung terhadap kemahiran manipulatif dan hands-on.

Sekolah-sekolah harian pula didirikan berhampiran kawasan petempatan penduduk sama ada di bandar, desa, taman perumahan, mahupun di kawasan pedalaman yang ketiadaan bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya yang sempurna. Anak-anak Orang Asli juga dimasukkan ke asrama khas untuk memastikan mereka mudah mengikuti pembelajaran di sekolah harian biasa. Dasar keciciran sifar memperuntukkan hukuman denda dan penjara kepada ibu bapa yang didapati dengan sengaja enggan mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah.

Bagi merapatkan jurang akses dan jurang digital antara sekolah tanpa mengira kedudukan, maka langkah memperkasa sekolah harian amatlah tepat. Mutakhir ini, makin banyak bilangan murid cemerlang datang daripada sekolah harian. Mereka mampu bersaing dengan murid sekolah ternama dan tersohor yang lain.

Langkah memperkasa sekolah harian perlu kepada takrifan konseptual yang jelas. Misalnya, dari segi peruntukan kewangan, naik taraf kemudahan fizikal, pelantikan pengetua, guru dan kakitangan, serta peluang penglibatan warga sekolah dalam bidang kebitaraan tertentu hingga ke peringkat antarabangsa. Isu sekolah kurang murid, sekolah kurang berkesan (tenggelam, merangkak dan bertatih)  dan sekolah prestasi rendah juga mesti diberi perhatian.

Sekolah harian yang telah dipilih sebagai sekolah kluster kecemerlangan dan sekolah berprestasi tinggi harus menjadi rujukan kepada sekolah-sekolah harian yang lain. Perkongsian pengalaman mesti menjadi budaya sesama sekolah walaupun masing-masing sebenarnya bersaing demi kemajuan pembelajaran. Kalau kita berhajat untuk mencapai status pendidikan bertaraf dunia, semua sekolah perlu mencapai tahap piawaian tertentu, bukan setakat minimum.

Jawatankuasa peringkat zon dan daerah harus melibatkan semua pihak yang berkepentingan, sama ada pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi awam yang lain. Fungsi jawatankuasa berkenaan bukanlah untuk campur tangan terhadap dasar dan proses pendidikan di sekolah, tetapi menjurus kepada usaha mencari jalan ke arah penambahbaikan atau nilai tambah, dan sumbangan kepakaran yang sesuai. Projek fizikal di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan juga harus akur dengan keperluan urusan sekolah yang membabitkan kanak-kanak, guru, ibu bapa, penyedia perkhidmatan pengangkutan dan keselamatan.

Sekolah kurang murid, sekolah kurang berkesan dan sekolah prestasi rendah patut mendapat bantuan yang mencukupi, bukan sekadar pemantauan dan teguran. Projek dan tugasan khas untuk sekolah-sekolah berkenaan boleh menggunakan kepakaran guru-guru cemerlang secara pinjaman atau tetap. Kajian tindakan dalaman dan input pihak nazir barangkali mempercepat kemajuan sekolah-sekolah harian yang kurang beruntung itu...

No comments: