SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, December 23, 2011

LOKASI BUKAN LAGI FAKTOR UTAMA PERNIAGAAN (X-FACTOR IN BUSINESS)

Seorang rakan baik penulis blog (PB) pernah mengatakan keputusan asas bagi memulakan sesuatu perniagaan ialah lokasi, lokasi dan lokasi! Barangkali perkara itu separuh benar ketika itu kerana tarikan terhadap sesuatu perniagaan membabitkan banyak faktor. Antaranya, jenis perniagaan, layanan, khidmat lepas jualan dan lain-lain.

Faktor lokasi mungkin lebih jelas di kawasan rehat dan rawat (R & R) di lebuh raya, khususnya di sebelah pantai timur yang belum siap sepenuhnya. Kawasan R & R Temerloh boleh dikatakan sentiasa penuh dengan kenderaan berbanding dengan kawasan R & R Gambang. Temerloh terletak di pertengahan perjalanan antara Kuala lumpur dengan Kuantan, sedangkan Gambang sudah di penghujung.

Kelebihan R & R Temerloh juga ialah menu ikan patin buah (RM 12) dan ikan patin sangkar (RM 7) yang dimasak dengan gulai tempoyak. Bilangan premis niaga R & R Temerloh juga lebih banyak dan pelbagai. R & R Gambang pula agak sepi dan pekerja kedai makan boleh lepak di kerusi meja pengunjung sambil berborak.
Kedudukan sesebuah pasar raya di kawasan strategik bandar tidak menjamin pelanggan akan lebih ramai berkunjung ke sana. Contohnya, pasar raya Salwa di bandar Dungun yang telah menutup operasi mereka sejak beberapa tahun yang lalu. Bukan tidak ramai pengunjung, tetapi isu dalaman organisasi yang menjadi masalah.

Begitu juga sebuah gerai makan yang terletak jauh dari laluan utama, tetapi sentiasa penuh dengan pelanggan. Kalau lewat sedikit, menu hangat seperti nasi dagang alas daun pisang akan kehabisan. Berita yang tersebar dari mulut ke mulut menyebabkab gerai yang terletak di laluan tepi pantai Teluk Lipat itu sentiasa diserbu.

Sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di pekan lama Dungun juga tidak mengharapkan pelanggan datang secara fizikal ke kedainya. Sebaliknya, tuan punya kedai yang mendakwa bahawa dia memiliki koleksi spesies kucing Farsi terbanyak di Malaysia, penggunaan kaedah e-niaga menerusi mudah.com lebih menguntungkan. Dia menggunakan perkhidmatan bas ekspres dan akaun bank atas talian sebagai kaedah urus niaga.


Sebuah firma perunding juruukur bertauliah di Ipoh pula beroperasi dari rumah walaupun pelanggan mereka menjangkau seantero dunia. Pemilik firma anak-beranak itu memberitahu PB bahawa dia lebih selesa berada di rumah kerana dapat melakukan kerja tanpa memerlukan dia berjauhan dengan keluarga. Hanya apabila ada keperluan lapangan, barulah dia dan anak-anak bergerak atau terbang ke destinasi yang berkenaan.

Anjakan paradigma pemikiran sedemikian patut mendapat perhatian usahawan dan kalangan yang berhajat memulakan perniagaan. Pastikan bahawa keluaran yang ditawarkan memiliki potensi pasaran, di samping penyampaian maklumat yang mencukupi. Kepada usahawan Muslim, jangan lupa solat Dhuha setiap pagi (antara 8-11) justeru punca rezeki datang dari-Nya jua...

No comments: